Amalan membaca ialah sikap suka menelaah bahan bacaan dalam aktiviti harian seseorang pelajar itu. Antara bahan bacaan itu meliputi novel,majalah, akhbar yang banyak dijual di kedai-kedai buku. Sebenarnya, amalan ini mempunyai banyak faedah kepada diri pelajar apabila dilakukan secara kerap.

 

Kebaikan yang ketara ialah membaca boleh menambahkan ilmu pengetahuan seseorang itu. Aktiviti membaca pasti membawa pelajar memperoleh maklumat terkini tentang sesuatu perkara seperti penemuan kajian sains yang mengejutkan. Lantaran itu, diri pelajar sering terdedah pada kajian saintis yang sering berubah-ubah mengikut zaman.

 

Selain itu, membaca juga boleh meningkatkan kemahiran bahasa pelajar. Penemuan saban hari istilah atau kosa kata baru yang difahami setelah memeriksa kamus itu akan meningkatkan kemahiran berbahasa pelajar tersebut. Sesungguhnya, penggunaan kosa kata dalam diri pelajar akan menjadi meluas dan menjadikan pelajar mahir dalam penulisan pula.

 

 

Membaca itu jambatan ilmu yang membuktikan amalan ini penting dilaksanakan oleh semua pelajar tanpa mengira batasan usia.

 

Tambahan pula, pemikiran pelajar menjadi lebih baik atau matang apabila kerap membaca bahan akhbar dan majalah. Pembacaan menjadikan pelajar mengetahui banyak isu daripada pelbagai sudut pandangan masyarakat itu tanpa mengira positif atau negatif. Jelaslah, pelajar akan menimbang sendiri semua fakta yang dihuraikan dalam pembacaan itu lalu membuat kesimpualan yang bernas.

 

Sikap suka membaca boleh mengisi masa lapang pelajar. Amalan ini memerlukan tumpuan yang lama seperti berjam-jam untuk menghabiskan sebuah buku terutama buku pelajaran yang tebal. Maka kemungkinan untuk pelajar  tersebut terlibat dalam sebarang aktiviti tidak berfaedah seperti melepak tidak akan berlaku.

 

Kajian juga membuktikan bahawa pelajar yang kerap membaca buku akan memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kejayaan ini berlaku kerana banyak fakta yang perlu dihafal apabila pelajar menjawab soalan peperiksaan umum negara ini. Akibatnya, ibubapa akan berasa bangga dengan kejayaan anak mereka.

 

Kesimpulannya, semua faedah membaca itu benar-benar berlaku sekiranya diamalkan secara baik. Ibubapa perlulah membantu mumupuk minat ini dengan memberi galakan atau membeli bahan-bahan bacaan yang berkualiti untuk anak mereka. Bak kata pepatah, membaca itu jambatan ilmu yang membuktikan amalan ini penting dilaksanakan oleh semua pelajar tanpa mengira batasan usia.

Prepared by Ms. Roziahana

Leave a Comment